MARA terus perkasa usahawan Bumiputera Dr. Zuraidi Ishak



Kuala Lumpur: Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus komited dalam memperkasakan usahawan Bumiputera dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan latihan bagi merangsang sosioekonomi Bumiputera di Malaysia.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan melalui MARA sememangnya fokus terhadap isu pemerkasaan usahawan Bumiputera kerana pembabitan aktif dalam sektor ini menjanjikan peluang penciptaan kekayaan kepada mereka malah melalui perniagaan dijalankan mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat.

"Kita akan terus menumpukan usaha pemerkasaan usahawan Bumiputera melalui pembangunan usahawan baharu, pengukuhan usahawan sedia ada serta pembangunan enterprise melalui pendekatan strategik embedded programme MARA dengan menyemai budaya keusahawanan kepada pelajar sejak di bangku pengajian, peruntukkan juga akan melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan pelajar di institusi pendidikan agensi ini," katanya. Beliau berkata demikian semasa hadir menyempurnakan Majlis Anugerah Usahawan MARA (AURA) 2016 dan menyampaikan hadiah kepada pemenang di sini, semalam. Kerajaan amat peka, prihatin Beliau berkata, kerajaan sememangnya amat peka terhadap keperluan sokongan bagi membolehkan lebih ramai Bumiputera menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dan oleh sebab itulah,

MARA selaku agensi terpenting dalam ekosistem keusahawanan memperuntukkan bajet yang besar dalam perkara ini. "Selama 50 tahun penubuhannya, lebih satu juta usahawan berjaya dilahirkan dalam MARA bahkan agensi ini juga menyumbang kepada pembentukan masyarakat kelas menengah Bumiputera yang meningkatkan Status Sosioekonomi (SES) Bumiputera dan seterusnya menjadi pemangkin pembangunan," katanya. Berdasarkan rekod ini, Ismail Sabri menegaskan bahawa MARA akan meneruskan usaha meningkatkan lagi kedudukan ekonomi Bumiputera aktiviti keusahawanan dengan melahirkan lebih ramai masyarakat usahawan sekali gus menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Saya akan memastikan MARA terus terkehadapan menjadi agen transformasi kepada masyarakat Bumiputera dengan membawa mereka ke tahap yang lebih tinggi dengan menjadikan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PEB) sebagai asas pelaksanaan strategi ini," jelasnya. Antaranya, beliau turut mengarahkan MARA untuk terkehadapan dengan menceburi bidang-bidang yang dikenalpasti memberi impak yang tinggi untuk diceburi oleh Bumiputera seperti dalam menerajui industri aeroangkasa, rails, peruncitan, serta biopreneur yang mana beberapa kerjasama dimeterai dengan pemain industri terbabit. "Anugerah yang kita sampaikan pada hari ini bukan sekadar penghargaan sebaliknya menunjukkan bahawa usaha-usaha yang dimainkan oleh MARA dalam konteks keusahawanan ini sememangnya terbukti telah melahirkan usahawan Bumiputera yang bukan bersifat jaguh tempatan sebaliknya mampu menerjah ke arena global," katanya. AURA 2016 iktiraf usahawan cemerlang Kecemerlangan usahawan Bumiputera yang memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada arus pembangunan negara diiktiraf pada Majlis Anugerah Usahawan MARA (AURA) 2016.

Timbalan Ketua Pengarah Keusahawanan MARA, Zulfikri Osman, berkata AURA mula diperkenal pada 2006 yang diadakan secara dwitahunan khusus untuk mengiktiraf kecemerlangan usahawan di bawah bimbingan MARA berdasarkan disiplin perniagaan yang mereka jalankan. "Bagi tahun AURA 2016, sebanyak 11 kategori anugerah dipertandingkan iaitu Usahawan Korporat, Teknousahawan, Peruncitan, Usahawan Pembuatan, Kontraktor Wibawa, Penyewa, Persatuan Penyewa dan Tokoh Usahawan," katanya. Beliau berkata, sejajar dengan arus semasa dalam dunia keusahawanan masa kini, AURA 2016 turut memperkenalkan tiga kategori baharu iaitu anugerah Usahawan Wanita, Jenama dan juga Usahawan Belia.

"Selaku organisasi utama dalam ekosistem keusahawanan Bumiputera, anugerah ini diharapkan dapat melahirkan ikon-ikon usahawan Bumiputera yang mampu menjadi mentor kepada usahawan muda, menjadi sumber rujukan malah menyumbang kembali dengan menggalak kelahiran lebih ramai Bumiputera dalam dunia keusahawanan," katanya. Sementara itu, Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn, Datuk Ir Muhamad Guntor Mansor Tobeng, yang dipilih sebagai Tokoh Usahawan MARA 2016 berkata, MARA banyak membantu usahawan Melayu dalam membangunkan perniagaan. "Geran pertama saya terima sebanyak RM20,000 untuk membuat katalog dan ia membantu meningkatkan penjenamaan syarikat.

"Saya berdepan kesukaran untuk membina ladang solar yang membabitkan kos RM100 juta di Melaka. Ketika itu saya gagal mendapat pembiayaan daripada bank kerana kos yang tinggi. "Bagaimanapun dengan bantuan MARA menerusi program BARON di samping bantuan daripada agensi lain, saya berjaya melaksanakan projek ini," katanya yang turut mempunyai projek di Indonesia, Jepun dan Arab Saudi.



Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/262042?m=1

Share this:

CONVERSATION

0 comments:

Post a Comment